Tuesday, September 2, 2008

[Semasa] Andai Ulama' Pandai Mengelecek Bola

assalamualaikum w.b.t

EPL merupakan antara liga bola sepak di dunia yang memiliki pengaruhnya yang tersendiri. Sebut sahaja Manchester United, Liverpool, Chelsea dan Arsenal semua akan terbayang beberapa nama besar dalam arena tersebut seperti Ronaldo, Gerrard, Deco dan Van Persie. Dimana sahaja ceruk dunia ini, pasti mengenali bintang-bintang nan segar bersinar ini. Jika dibandingkan dengan liga Malaysia, pasti ada yang menyampah. Tetapi itulah realiti sukan nombor satu ini, bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh pelusuk bumi.

Dunia sukan hari ini digegarkan dengan perpindahan beberapa pemain ke dalam EPL. Ini ekoran tamat tempoh bagi sesi perpindahan pemain ke dalam EPL beberapa jam yang lalu. Antara yang hangat diperkatakan adalah dua pemain yang dipindahkan iaitu Robinho dan juga Berbatov.

Robinho, berhijrah ke Manchester City daripada kelab lamanya iaitu Real Madrid manakala Berbatov meninggalkan Tottenham Hotspur untuk bersama Manchester United. Berapakah nilai perpindahan mereka? Berbatov sahaja mencecah 31 juta pound dan menerima 100 ribu pound seminggu manakala Robinho pula mencecah angka 28 juta pound. Nilai yang cukup tinggi namun mungkin berbaloi dengan keupayaan mereka.

Melihat senario ini, alangkah indahnya jika mereka yang bukan bermain di atas rumput hijau, tidak mengenakan jersi bernombor apatah lagi tidak membuat perkiraan di atas usaha mereka untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat, turut dijulang tinggi sepertimana Robinho dan Berbatov.

Ulama, suatu nama yang sinonim dalam dunia Islam hari ini, selepas kita tiada lagi para nabi dan rasul, selepas tiada lagi sahabat-sahabat nabi dan selepas runtuhnya khilafah Islamiyyah, maka inilah golongan yang mewarisi perjuangan dakwah. Diri ini selalu bertanya, siapakah aku tanpa mereka yang meneroka jauh semata-mata atas dasar dan perjuangan Islam.

Ulama hari ini sekadar imam di masjid, juru akad nikah dan jemputan bagi majlis ceramah sempena hari kebesaran Islam. Sayang seribu kali sayang. Ulama yang lantang hari ini menegakkan hukum Allah, pasti akan dibuang jauh-jauh. Bukan sahaja berbicara dalam media, malah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan. Alangkah ruginya kita pada hari ini. Ilmu yang mereka ada tidak dikembangkan.

Allahyarham Dato Ishak Baharom suatu ketika dulu merupakan mufti negeri Selangor. Namun atas teguran beliau mengenai majlis ratu cantik yang melibatkan bangsa Melayu beragama Islam, maka Allahyarham telah dipecat. Dan beliau kembali ke rahmatullah tidak lama dahulu. Namun apa yang cuba diri ini ketengahkan adalah bagaimana hari ini Allah meninggikan darjat mereka yang berjuang atas agamaNya. Allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan diraja atas perintah dan perkenan Tuanku Sultan Selangor. Info yang tidak didedahkan oleh media hari ini.(RS/10.52pm/2Sep08)

Subbahanallah...






No comments: